Kamis, 06 Juni 2013

HATIKU MILIK-MU!!



HATIKU MILIK-MU!!

Aku manusia biasa. Cara hidupku juga biasa. Hartaku tidaklah segunung Kinabalu. Iman dan takwaku tidak sehebat seorang muslimah sejati. Kerana aku insane biasa. Datang dan lahir dari keluarga yang biasa. Namun, jauh di sudut hati ini, aku inginkan luar biasa. Aku sentiasa menanam utuh dalam kalbuku ini agar suatu saat nanti, hatiku akan lembut untuk terus istiqamah di jalan-Nya.

Ini kisahku. Kisah seorang aku bertemu Dia. Dulunya, aku seorang yang biasa. Tidak memakai tudung labuh, tidak memakai stoking dan selalu mesej dengan lelaki bukan mahram kerana mereka kawan-kawan aku. Aku suka bermesej kosong dengan mereka. Entahlah. Rasa serono kot bila selalu mesej dengan lelaki.

Semasa aku tingkatan 3, aku pernah bercouple dengan seseorang ni. Masa tu, geng-geng aku semua dah ada pakwe. Dan, aku barulah nak belajar bercouple. Aku dengan pakwe aku ni, selalulah juga mesej. Tapi, call tu, jarang-jarang. Biasalah, jiwa remaja, sibuk nak bercinta. Tapi, masa tu, aku tetap jaga batas. Tak pernah dating dan keluar berdua dengan dia. Cuma mesej dan kadang-kadang call saja.

Sebelum PMR, hati aku ni bertemu dengan hidayah-Nya. Aku terjumpa satu risalah dakwah tentang cinta. Aku baca dengan hati yang sarat inginkan jawapan kepada persoalan-persoalan aku selama ini. Apakah bercouple itu satu kesalahan? Salahkah aku dan dia bercinta? Aku jumpa setiap jawapan kepada persoalan-persoalan aku ni dalam risalah tersebut. Bukan itu saja, malah, aku turut mencari ilmu di alam maya ini. Aku baca blog-blog para daie yang aku kenal cukup hebat ilmu agamanya dan cukup mantap hujahnya. Aku mula sedar. Aku banyak melakukan dosa!

Aku mencari kekuatan untuk meninggalkan pakwe aku. Dan, aku berjaya! Aku minta untuk putus dengannya! Melalui surat. Aku rasa sangat bahagia setelah aku clash dengan dia! Dan, aku berazam dengan diriku sendiri untuk tidak bercouple lagi dengan mana-mana lelaki. Aku hanya inginkan cinta yang suci dan halal untuk suamiku nanti!

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk.” (al-Isra: 32)

Semasa di tingkatan 4, hidayah-Nya semakin mendapat tempat di hatiku. Aku sebenarnya amat tertarik dengan penampilan para muslimah yang bertudung labuh. Ya! Memang aku teringin sangat nak istiqamah pakai tudung labuh! Bukan hanya pakai di sekolah sahaja!

Seorang ustaz baru di sekolah aku sedikit sebanyak melembutkan hatiku untuk berubah ke arah kebaikan. Beliau cuba menghidupkan suasana Islamik di sekolah aku tu. Aku suka! Ceramah dan tazkirah kerapkali berjalan di sekolah itu. Risalah-risalah dakwah juga sering dipamerkan dan dijadikan bahan rujukan untuk para pelajar. Aku juga mula rajin membaca buku-buku agama.

Aku bergaul dengan geng-geng yang aku baru kenali. Aku bercampur dengan sahabat-sahabat yang sama-sama berusaha denganku mencari cahaya-Nya. Sedikit demi sedikit, aku mula berubah. Aku membeli tudung 60 inci. Aku juga sudah selesa memakai stokin. Tidak ramai ahli saudara-maraku yang bertudung labuh. Hanya ada beberapa sahaja. Iaitu ahli keluarga sebelah bapa. Ahli keluarga sebelah ibu pula, langsung tiada. Hanya ibu sahaja. Kakakku juga tidak bertudung labuh. Hanya tudung biasa. Aku sematkan di dalam hati. Aku akan berusaha untuk istiqamah bertudung labih bulat pula selepas ini. Aku rasa selesa! Serius!

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Surah Al-A’raf : 26)

Umurku genap 18 tahun. Semakin aku mendalami ilmu agama, mencari realiti hidup ini, aku sebenarnya sudah jatuh hati pada seseorang. Mungkin, suka. Belum lagi cinta. Aku abaikan sahaja perasaan itu. Lelaki itu bagiku memang amat istimewa. Sebab aku dan dia berkawan. Dia selalu bertanya soalan yang berkaitan dengan agama padaku. Kadang-kadang, aku juga begitu. Aku sering dan sentiasa cuba untuk tidak terlalu rapat dengannya. Sebenarnya, dia sudah ada insan istimewa di hatinya. Aku cuba untuk menyedarkannya. Aku suka dengar dia bertazkirah di surau dan mengimamkan solat di sekolah dulu. Ya! Aku suka! Sampai kadang-kadang, aku termimpikan dia. Aku malas nak layan perasaan tu. Lagipun. Aku masih belum bersedia! Masih jahil agama!

Aku biarkan saja. Kini, sudah 19 tahun umurku. Perasaan itu seakan masih ada. Hari tu, aku dan kawan-kawanku reunion. Ternyata, lelaki itu masih dengan buah hatinya. Dia benar-benar serius mungkin. Ingin bernikah. Ya Allah! Aku tahu, rasa ini perit. Namun, tak sanggup aku nak luahkan. Aku tak nak mengecewakan sahabatku sendiri. Aku tak nak dilabel perampas. So, aku abaikan dan terus abaikan. Aku terus berusaha mensolehahkan diriku. Aku percaya, Dia sudah menciptakan seseorang khas untukku. Aku sangat yakin, bahawa ada si dia yang tercipta untukku. Ya! Bukan mudah nak hapuskan rasa suka dan sayang yang pernah bertakhta dalam diam. Namun, lama kelamaan, makin aku biarkan, abaikan, ianya semakin berlalu. Apa ubatnya?? Aku cuba rajin dan sibukkan diri dengan kerja-kerja ibadah. Aku percaya dengan janji-Nya. ^^

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)….” (Surah An-Nur : 26)

Sejak umur 17 tahun lagi, aku sudah tidak bermesej dengan lelaki walaupun sekadar kawan. Kecuali, atas dasar keperluan seperti pelajaran dan perkara penting sahaja. Kerana, aku tidak mahu ada sebarang rasa yang akan tersekat di jiwaku ini.

Hingga kini, memang ada beberapa insan yang cuba mengetuk pintu hati ni. Tapi, aku tak nak! Aku tak layan! Benar, jika kita kerap merapatkan diri dengan lelaki, mudah untuk syaitan mengambil alih hati kita dan menodainya. Aku tidak mahu lalai lagi. Aku tidak mahu terleka dan terlena lagi dalam hasutan syaitan. Aku takkan sesekali mulakan sesuatu yang susah untuk aku hentikan. Alhamdulillah, aku kini sudah istiqamah bertudung labuh bulat. Memang kadang-kadang, aku dipandang pelik sebab bertudung labuh! Namun, aku abaikan mereka. Aku utamakan pandangan Yang Maha Esa.

“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad : 7)

Dan, kini, aku tetap meneruskan perjuanganku untuk mensolehahkan diri dan menuntut ilmu demi Allah! Aku sudah mempunyai group usrah tersendiri. Bersama para sahabatku. Aku cintakan mereka kerana Allah. ^^

Moga suatu saat nanti, bila aku sudah bersiap sedia, Dia akan menemukan aku dengan insan soleh yang juga mencintai-Nya untuk mencintai dan menikahiku. Aku abaikan segala anasir-anasir rasa yang cuba menggugat dan melemahkan hati dan jiwaku. Aku hanya inginkan satu cinta! Cinta yang halal! :)

Perasaan ini sungguh indah! Subhanallah! Perasaan tatkala aku sudah berjaya bertemu Dia. Tuhanku. Pemilik nyawaku. Jangan Kau ambil dan tarik semula hidayah-Mu ini. Aku sangat takut dan resah untuk berjauhan dari sisi-Mu. Aku tidak mahu terhumba ke gaung Neraka-Mu gara-gara kemurkaan-Mu.

“Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (Surah Maryam : 58)

Sungguh, hatiku milik-Mu, Ya Rabbi! ^^

0 komentar:

Posting Komentar

 
KITA ORANG MUSLIM powered by blogger.com
Design by Simple Diamond Blogger Templates